Ibarat ‘sudah jatuh ditimpa tangga’.
Seorang isteri yang sedang hamil tidak menyangka wanita yang maut bersama-sama suami serta ibu mertuanya dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 42.2 Jalan Johor Bahru-Mersing, semalam adalah isteri kedua suaminya, yang baru dinikahi beberapa hari lalu.
Dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, kesemua mangsa iaitu Abdullah Suhaime Abd Rahman, 30, dan Rohayu Abas, 29, serta ibu Abdullah, Rokiah Abu Bakar, 52 maut selepas kereta Ford Fiesta yang dipandu Rohayu bertembung dengan sebuah lori pasir.
Difahamkan, pemandu lori berkenaan mengalami kecederaan di mata dan kini sedang dirawat di Hospital Kota Tinggi (HKT).
Menurut isteri pertama mangsa, Farah Fadila Faizal, 27 dia mendapat berita kemalangan yang menimpa suaminya daripada seorang rakan sebelum dimaklumkan anggota polis.
Farah yang sudah dua tahun mendirikan rumah tangga dan hamil empat bulan akui terkejut dengan berita buruk itu selain mendedahkan dirinya tidak mengetahui telah dimadukan.
“Ahad lalu, suami ada beritahu saya dia hendak pergi kursus beberapa hari.
“Saya ada mengirim pesanan ringkas melalui telefon ketika dia sedang berkursus mengadu kaki saya sakit, tapi suami tak balas.
“Saya tak tahu ibu mertua dan wanita itu bersamanya sehingga terima berita tentang kemalangan ini,” katanya.
Difahamkan, jenazah mangsa akan dikebumikan di kampung neneknya dekat Kampung Kuala Sentul, Maran, Pahang.
0 Response to "Isteri Hamil Baru Tahu Suami Nikah Lagi Selepas Nahas"
Post a Comment