Adik Pula Bongkar Kisah Abangnya Yang Maut Kemalangan Beristeri Baru

Kota Tinggi: “Hari ini baru saya tahu dia berkahwin seorang lagi,” kata Farah Fadila Faizal, 27, isteri pertama Abdullah Suhaime Abd Rahman, yang terkorban bersama ibu dan isteri kedua yang baru dinikahi tiga hari lalu dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 42.2 Jalan Johor Bahru-Mersing, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, Abdullah Suhaime, 30, yang bertugas sebagai pembantu juru X-ray di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru terbunuh apabila Ford Fiesta dipandu isteri keduanya, Rohayu Abas, 29, dikatakan hilang kawalan sebelum bertembung sebuah lori pasir.

Kejadian itu turut menyebabkan ibu Abdullah Suhaime, Rokiah Abu Bakar, 52, meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah di kepala dan badan.

Farah berkata, dia pada mulanya mengetahui suaminya ditimpa kecelakaan jalan raya melalui rakan WhatsApp sebelum dimaklumkan oleh polis.

“Pada Ahad lalu, suami ada beritahu saya bahawa dia hendak menghadiri kursus selama beberapa hari. Saya juga ada mengirim pesanan ringkas ke telefon bimbitnya beberapa hari lalu mengadu sakit kaki, tetapi tidak dibalas.

“Saya juga tidak tahu ibu mentua dan isteri barunya ikut bersamanya. Sehinggalah pagi ini (semalam) sebaik saja saya dimaklumkan kemalangan terbabit, barulah saya tahu dia sudah bernikah seorang lagi,” katanya yang kini hamil anak sulung selepas dua tahun berkahwin.

Farah yang ditemui di Bilik Mayat Hospital Kota Tinggi (HKT) bagaimanapun tidak dapat menahan kesedihannya sehingga ditenangkan oleh ahli keluarga yang turut menemaninya.

Sementara itu, adik kepada Abdullah Suhaime yang dikenali Maizatul, 25, berkata, dia mendapat berita kejadian itu jam 7 pagi semalam daripada ibu saudaranya.

Katanya, terkejut dengan berita itu, dia bergegas ke HKT bersama bapanya, Abd Rahman Ali, 58.
“Rohayu isteri kedua abang dan mereka baru melangsungkan pernikahan di Terengganu. Mereka ke sana sejak tiga hari lalu.

“Kami hanya dua beradik, selepas tidak tinggal bersama keluarga, saya sudah jarang berbual dengannya. Malah sejak akhir-akhir ini, dia tidak seceria seperti ketika kami tinggal bersama ibu bapa dulu,” katanya.

Maizatul berkata, semua jenazah dibawa ke Pahang untuk dikebumikan di kampung neneknya dekat Kampung Kuala Sentul, Maran selepas bedah siasat selesai dilakukan pihak hospital.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Rahmat Othman berkata, kemalangan dipercayai berpunca apabila Ford Fiesta dari arah Mersing menghala ke Johor Bahru itu hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan menyebabkan ia bertembung dengan sebuah lori.

Menurutnya, akibat pertembungan itu, pemandu dan dua penumpang maut termasuk seorang warga emas tercampak keluar beberapa meter dari kereta.

“Pemandu lori iaitu Mohamad Amirul Faiz Azman, 23, berasal dari Felda Pasak, Kota Tinggi mengalami kecederaan di mata, dada dan kaki dirawat di HKT.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan mendapati lokasi kejadian adalah jalan berkembar dua hala yang lurus serta dalam keadaan cuaca baik,” katanya.

Beliau berkata, anggota Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan Rohayu dan Abdullah yang tersepit.

0 Response to "Adik Pula Bongkar Kisah Abangnya Yang Maut Kemalangan Beristeri Baru"

Post a Comment