PESARA TERKELU BILA TINGGAL 6 SEN DALAM AKAUN KWSP

SEORANG pesara Jabatan Tanah dan Survei terkejut apabila mendapati wang dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya hanya tinggal sebanyak enam sen.

Menurut lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Mr. Kan, 77, dari Sibu, Sarawak, dia tidak pernah mengeluarkan wang KWSP miliknya yang berjumlah RM11,217.12 sejak bersara pada 1993.

Perkara itu disedari olehnya ketika melakukan pemeriksaan potongan carumannya di Pejabat KWSP di Jalan Kampung Datu, Sibu, baru-baru ini.

“Sejak berkhidmat sebagai kakitangan awam selama 23 tahun sehingga pencen, saya tidak pernah melakukan sebarang pengeluaran wang KWSP,” katanya.

Menerusi laporan Utusan Borneo, Kan dimaklumkan oleh KWSP bahawa tiga pengeluaran telah dilakukan pada 1989, 1993 dan 1999.

“Semua pengeluaran tersebut bukan dilakukan oleh saya dan kini saya meminta pihak berkenaan menyemak semula bagaimana pengeluaran wang KWSP boleh dikeluarkan orang lain dan tidak dikenali,” katanya.

Kan tergerak hati untuk memeriksa status simpanannya selepas salah seorang anaknya bertanyakan mengenai perkara itu.

Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh Kan sebagai rujukan pihak KWSP dan dia berhasrat menyelesaikan perkara itu di pejabat KWSP di Kuching dalam masa terdekat.

Sepanjang bersara, Kan menerima wang pencen sebanyak RM600 setiap bulan.– MYNEWSHUB.CC

0 Response to "PESARA TERKELU BILA TINGGAL 6 SEN DALAM AKAUN KWSP"

Post a Comment