BARU-baru ini Malaysia digemparkan dengan penemuan mayat bayi yang dikerat kepada lapan bahagian dalam tangki septik tandas di Kampung Manggol, Jitra, Kedah.
Berita menyayat hati itu ternyata mengundang amarah netizen termasuk seorang pakar perubatan yang menyifatkan suspek sebagai binatang.
“Ikutkan hati, saya mahu pergi wad dan tampar saja wanita itu. Tapi atas sikap profesional, saya batalkan niat itu,” kata Pakar Perunding Perubatan Reproduktif, Jabatan Obstetriks & Ginekologi Hospital Sultanah Bahiyah, Dr Murizah Mohd Zain.
Menurut laporan polis, bayi malang itu dikerat menggunakan objek tajam di bahagian kepala, dada hadapan, bahagian belakang, abdomen bawah, kaki kanan dan kiri serta tangan kanan dan kiri.
Berikutan itu, suspek yang merupakan ibu mangsa kini telah direman dan sedang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah kerana mengalami pendarahan pada rahim.
Tambah Dr Murizah, dia tidak boleh membayangkan bagaimana seorang manusia dapat bertindak sekejam itu.
“Apa yang dilakukan wanita itu amat kejam, lebih teruk daripada binatang.
“Tindakan wanita tersebut sudah melampaui batas kebinatangan kerana binatang pun tidak akan melakukan perkara seperti itu ke atas insan yang lahir dari rahimnya.
“Jika betul dia waras ketika melakukannya, maka saya menyeru supaya dia dihukum dengan hukuman berat supaya menjadi pengajaran kepada yang lain,” ujarnya.
Suspek berusia 31 tahun dilaporkan tidak bekerja dan masih belum berkahwin.
Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.– MYNEWSHUB.CC
0 Response to "LUAHAN DOKTOR:RASA MAHU MENAMPAR IBU YANG POTONG BAYI 8 KERAT"
Post a Comment