Drama Dia Isteri Luar Biasa, Drama Maksiat

Bismillahirahmanirahim

Assalamualaikum wbt.

Ke hadapan Puan Ziela Jalil,

Apa khabar puan? Diharapkan puan sihat. Saya adalah antara berjuta penonton drama puan, Isteriku Luar Biasa.

Saya teruskanlah point saya. Saya malu tengok drama puan. Boleh ke kalau saya katakan drama puan itu drama maksiat?

Kalau dulu, pihak berkuasa negara kita bukan main bersusah payah nak menangkap pasangan yang tak ada ikatan, bercumbu rayu berpelukan, bercengkerama di taman, hutan, rumah kosong, hotel bajet, mahupun tandas awam (wallahualam). Bukan main diorang sanggup menyorok dari pandangan mata awam (tetapi tidak dari Allah).

Tetapi sekarang, puan dengan bangga buat drama tunjuk pada mata masyarakat drama yang penuh dengan adegan peluk-peluk, bersuap-suap makan, berpengangan tangan, berlaga pipi yang pada hakikatnya semua tahu pasangan pelakon itu tiada ikatan apa-apa pun.

Demi niat, puan nak menunjukkan kasih sayang dan sucinya sebuah ikatan 'perkahwinan' ciptaan drama puan.

Ye, saya tahu drama itu adaptasi dari novel. Tapi bezanya novel adalah karangan yang terkandung dalam buku. Yang dibaca kebanyakannya oleh golongan dewasa/remaja yang boleh berkhayal dan syok sendiri betapa indahnya dunia perkahwinan. Yang dah ditulis dalam novel itu, mereka dah kahwin puan.

Tetapi ini sudah cerah menyala dan terang benderang secara fizikalnya, puan mengarahkan dua hamba Allah yang beragama Islam bersentuhan pipi, hidung, tangan, perut, peha dan seterusnya puan pun tahulah kat mana. Saya pun tak tahu nak cakap apa lagi yang tersentuh kalau dah berpeluk macam itu.

Saya malu puan, tengok drama hasil lakonan pelakon Islam. Pengarahnya Islam dan penerbitnya pun Islam. Adakah sebab niat puan menghalalkan cara?

Kasihanlah dengan keluarga saya yang ada anak remaja meningkat dewasa sedang belajar hukum hakam agama tetapi terangan di televisyen pula menunjukkan sebaliknya.

Puan nak suruh saya tutup televisyen ke? Saya ada televisyen satu je. Itu pun depan meja makan. Kalau tak buka, kusamlah rumah saya. Budak-budak muncung nak tengok televisyen. Puan nak suruh saya tukar channel ke? Habis saya nak tengok apa? Saya suka tengok cerita itu tetapi sebab banyak adegan macam tu, macam melampau pula saya rasa. Puan tak rasa begitukah?

Saya tak marah pun niat puan ikhlas nak beritahu objektif drama itu adalah untuk menunjukkan kemesraan suami isteri. Tetapi saya marah sebab puan menggunakan khidmat pelakon yang tak ada ikatan muhrim. Segan kami orang tuan menontonnya. Nak menjawab pada anak-anak lagilah satu hal. Allahuakbar.

Tak boleh ke puan ambil pelakon yang memang suami isteri untuk lakonkan adegan seperti itu? Contohnya, Dato Siti Nurhaliza dengan Dato K ke (mampu?), Norman Hakim dengan Memey ke (Sendu pula), Che Ta dengan Zain ke, Lisa dengan Yusri ke, Shuib dengan Sarah Raisudin ke, Hanis Zalikha dengan Hairul ke, Fynn Jamal dengan Tri ke (tetibe).

Malah Abang Jib dengan Kak Mah pun boleh berlakon juga. Ha, diorang pun sudah kahwin. Puan nak suruh mereka bercium menenggek di atas katil, berpelukkan basah sambil basuh kereta pun saya tak marah. Nak tunjuk adegan mandi sekali pun boleh, lagilah saya nak tengok.

Dan sebab saya boleh jawab pada anak-anak saya, There, itu mereka dah kahwin. Walaupun mereka berlakon saja tetapi mereka dah kahwin. Barulah hati saya senang nak tengok dan anak-anak pun faham yang sememangnya dah muhrim baru boleh bersentuhan. Kan banyak tu saya bagi nama pasangan yang sudah kahwin. Tak boleh ke puan ambil mereka sahaja?

Saya tak rasa pun nanti rating drama puan jatuh menjunam ke apa. Saya rasa lagi ramai nak tengok pasangan dah kahwin ini berlakon drama puan. Ala-ala romantika gitu. Kan dah macam dua dalam satu. Kami dapat tonton drama arahan/terbitan puan yang best. Disamping itu dapat melihat kemesraan artis yang sudah bersuami isteri. See, barulah sweet in real life kata orang gitu. Tak menarik ke idea saya ini puan?

Tolonglah considerkan cadangan saya.

Cukup-cukuplah dengan adegan seperti itu, kalau hero dan heroinnya tiada ikatan lagi. Drama dulu tak ada pun sedaring sekarang. Sedih saya puan, kami ibu bapa penat kerja nak hantar anak-anak belajar agama, hukum Islam. Tetapi bila balik rumah buka televisyen dah macam itu pula lakonan dramanya.

Saya harap puan tidak terkesan dari sudut negatif teguran saya. Puan ambillah dari sudut yang positif. Saya hormat puan sebab puan sangatlah sempurna di mata saya, menutup aurat, berharta kaya raya, mempunyai anak-anak yang cantik beriman dan sangat bagus didikannya.

Tunjukkanlah contoh yang baik buat anak-anak muda kita yang berkebolehan untuk mengarah atau menghasilkan drama melayu yang bagus. Saya kagum dengan puan. Saya pilih untuk tegur rama puan sebab saya tahu puan mampu mengambil teguran saya dan mempertimbangkannya.

Saya tahu banyak lagi drama atuu filem yang selamba kodok saja tunjuk pelakon bukan muhrim bersentuhan. Tetapi saya tak tegur mereka sebab saya tak kenal pun mereka dan saya tak tengok pun hasil kerja mereka. Puan rasa?

Baiklah puan, setakat ini sajalah rasanya luahan saya. Tak pergi terawikh pula saya malam ini sebab gigih menulis semua ini untuk puan.

Akhir kata dari saya rakyat marhaen, penonton tegar drama televisyen pada jam 7 petang, majulah drama Melayu Islam di mata dunia. Semoga setiap yang kita usahakan, diberkati Allah di dunia dan di akhirat.

Selamat berpuasa dan Selamat Hari Raya Puan Ziela Jalil. Maaf Zahir dan Batin.

0 Response to "Drama Dia Isteri Luar Biasa, Drama Maksiat"

Post a Comment